Program Matrikulasi semakin berkembang dengan adanya Program Dua Tahun. Program ini menyediakan alternatif kepada pelajar yang agak rendah pencapaiannya di peringkat SPM untuk mengikuti Program Matrikulasi. Berdasarkan keputusan Ujian Semester yang diadakan didapati pencapaian pelajar dalam subjek matematik amat membimbangkan. Oleh itu, faktor yang mungkin mempengaruhi pencapaian pelajar dalam matematik perlulah dikaji. Dalam kajian ini fokus telah diberikan kepada faktor afektif iaitu kerisauan matematik. Tujuan kajian ini ialah untuk mengenalpasti tahap kerisauan matematik di kalangan pelajar Program Matrikulasi Dua Tahun. Secara terperinci, kajian ini bertujuan melihat sama ada terdapat perbezaan min kerisauan matematik berdasarkan jantina dan pendapatan keluarga. Kajian juga melihat hubungan di antara kerisauan matematik dengan pencapaian pelajar dalam matematik. Kajian yang berbentuk tinjauan ini melibatkan 166 orang pelajar di Kolej Matrikulasi Melaka. Instrumen kajian ialah soal selidik kerisauan matematik yang diadaptasi dari soal selidik kerisauan matematik Fennema-Sherman. Data dianalisis dengan kedua-dua statistik deskriptif dan inferensi menggunakan pakej SPSS. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kerisauan matematik pelajar Program Matrikulasi Dua Tahun adalah pada tahap yang sederhana. Manakala hasil dari Ujian-t menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara min kerisauan matematik di antara pelajar lelaki dan perempuan. Selain itu, analisis statistik menggunakan ANOVA pula menunjukkan tidak terdapat perbezaan min yang signifikan dalam kerisauan matematik di antara pelajar yang datang dari keluarga yang berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah. Manakala ujian Korelasi tidak menunjukkan hubungan yang signifikan antara kerisauan matematik dengan latar belakang matematik pelajar. Walau bagaimanapun, dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan di antara kerisauan matematik dengan pencapaian matematik pelajar dalam Ujian Semester. Secara keseluruhannya kajian ini menunjukkan bahawa faktor kerisauan matematik adalah antara elemen yang perlu diberi perhatian dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik di kalangan pelajar matrikulasi Program Matrikulasi Dua Tahun.


Kembali Ke Penerbitan

edit post