
Terima kasih kerana meluangkan masa berharga anda melayari laman web C0E R&D Kolej Matrikulasi Melaka. Laman web ini telah dibangunkan sebagai salah satu inisiatif dalam usaha bersepadu bagi memastikan matlamat menjadikan Kolej Matrikulasi Melaka sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan (CoE R&D) yang terunggul akan dapat dicapai. Hasrat ini adalah merupakan antara strategi utama Bahagian Matrikulasi dalam usaha menjenamakan Program Matrikulasi.
Proses penjenamaan ini penting agar Program Matrikulasi sentiasa relevan dengan perkembangan pendidikan semasa. Apatah lagi, idea ini seiring dengan hasrat Kementerian Pelajaran untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan sepertimana yang tercatat di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP).
Kewujudan laman web ini adalah hasil kombinasi kepakaran dalaman warga kolej dan juga iltizam untuk menjadikan Kolej Matrikulasi Melaka lebih berdaya saing. Usaha secara berterusan turut digiatkan bagi menambahbaik isi kandungan dan persembahan laman web ini. Justeru, saya amat menghargai dan menyanjung tinggi segala inisiatif serta idea yang telah dicurahkan oleh semua pihak dalam membangunkan laman web ini.
Saya menaruh keyakinan dengan wujudnya laman web ini, pastinya akan membuka lebih banyak ruang kepada warga Kolej Matrikulasi Melaka khususnya, untuk mendekatkan diri kepada usaha-usaha penyelidikan. Saya juga menyeru agar laman web ini digunakan sebagai salah satu landasan ke arah membudayakan konsep perkongsian ilmu di kalangan warga kolej. Di samping itu, explorasi terhadap input-input baru di dalam dunia penyelidikan perlulah sentiasa diambil perhatian agar laman web ini akan menjadi lebih mantap dan seterusnya menjadi titik rujukan yang berkredibiliti.
Akhir sekali saya berharap agar pengguna laman web ini akan memperolehi manfaat menerusi bahan-bahan atau isi kandungan yang telah disediakan.
Sekian terima kasih.
EN. IDRIS BIN ISMAIL
PENGARAH KOLEJ MATRIKULASI MELAKA